Friday, February 17, 2017


KONSEP PERPADUAN




RAVINYADEWI A/P KRISHNARAJU
(15DTK16F1049)



Definisi

Perpaduan ialah penyatuan, dan darjah serta jenis penyatuan yang dipamerkan sesebuah masyarakat ataupun kumpulan dan jiran mereka.Ia merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia. Istilah ini lazimnya digunakan dalam bidang sosiologi ataupun sains kemasyarakatan. Asas perpaduan bagi sesuatu masyarakat berbeza. Dalam masyarakat ringkas atau biasa ia mungkin berdasarkan hubungan kekeluargaan dan nilai saling menghormati dan menyayangi. Bagi masyarakat yang lebih kompleks pula, terdapat beberapa teori berkaitan faktor yang menyumbang kepada perpaduan sosial ataupun masyarakat.

Perpaduan juga boleh ditakrifkan sebagai satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan dalam  kalangan mereka. Perpaduan masyarakat merupakan  antara aspek yang penting dalam membentuk  perpaduan negara. Malaysia kini dihuni oleh beberapa kaum dan etnik  yang bersifat majmuk yang  membawa kepada wujudnya jurang perpisahan  .


KEPENTINGAN PERPADUAN KAUM

            Perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik di negara kita haruslah dikekalkan untuk menjamin keselamatan negara  agar kemerdekaan yang kita kecapi sekarang ini berkekalan .Hal  ini adalah untuk mengelakkan berulangnya perkara yang tidak diingini seperti rusuhan kaum pada 13 mei 1969 yang telah berlaku di negara kita. Kesan daripada rusuhan ini kita dapat lihat betapa ramai masyarakat negara kita yang mati dalam peristiwa berdarah ini. Oleh itu,  perpaduan  penting agar kejadian yang sama tidak akan berulang. Dalam nada yang sama kita akan dapat mengekalkan kestabilan politik jika kejadian rusuhan kaum ini dapat dielakkan oleh semua anggota masyarakat yang memiliki semangat nasionalisme dan patriotik yang tinggi.

            Selain itu, keharmonian ini juga mestilah dikekalkan untuk melahirkan perasaan cintakan tanah air dan sanggup berkorban untuk negara kita.  Perpaduan dalam kalangan etnik di negara ini juga akan dapat mengukuhkan lagi keselamatan negara daripada ancaman  luar dan dalam negara. Warganegara yang memiliki semangat nasionalisme akan melahirkan kekuatan dalam mempertahankan negara ini daripada campurtangan kuasa luar seterusnya memelihara kedaulatan negara ini dan mengekalkan kemerdekaan negara ini seterusnya.

            Perpaduan negara yang jitu juga dapat membina sebuah masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain disebabkan faktor rasa bersama dan kekitaan yang lahir dalam jiwa seluruh anggota masyarakat. Sifat dengki dan khianat akan terlebur begitu sahaja  jika semua anggota masyarakat memiliki sifat saling menghormati yang dipupuk sejak kita kecil lagi.


MASALAH PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL

           Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh Kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah utama dari sembilan cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan.

         Cabaran ini berkait dengan cabaran ke lima yang berbunyi mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur dengan rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada negara. Cabaran ini berkait pula dengan cabaran ke tujuh iaitu untuk mewujudkan masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, iaitu sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada individu tertentu sahaja.



Faktor-Faktor Berlakunya Ketidakharmonian Hubungan Antara Kaum

Terdapat beberapa faktor sejarah yang menyulitkan proses pencapaian perpaduan di Malaysia. Di antaranya ialah :

⧭ Agama dan kebudayaan
   Setiap kumpulan etnik mempunyai agama dan kebudayaan yang berlainan. Setiap kaum pula mempunyai adat resam, bahasa, kesenian, budayadan sistem nilai yang berbeza. Masing-masing kurang mengenali, memahami dan seringkali menganggap mereka sahaja yang terbaik. Sikap ini menguatkan perasaan buruk sangka yang menghalang pergaulan baik antara pelbagai kaum.

⧭ Sistem pendidikan, persekolahan dan bahasa yang berlainan
  Laporan Razak menyebut bahawa tiada satu sistem pendidikan nasional di Tanah Melayu di mana setiap etnik lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Kurikulum yang digunakan juga tidak sama. Ada pula yang berpusat ke negara nenek moyang mereka, tidak terdapat bahasa pengantar yang sama. Keadaan ini melebarluaskan lagi jurang pergaulan, menghasilkan pandangan yang berlainan dan menjejaskan persefahaman dan perhubungan sesama rakyat disamping mewujudkan keperibadian dan perwatakan yang berbeza tanpa mempedulikan pembentukan warga negara yang beridentitikan satu negara.

⧭ Perbezaan politik mengikut bangsa, kaum dan etnik
Kewujudan persatuan politik, sosial dan ekonomi berdasarkan bangsa, kaum dan etnik tertentu telah memperkuatkan identiti sesuatu kumpulan dan menimbulkan perasaan syakwasangka kerana setiap kumpulan hanya memperjuangkan hak dan kepentingan kumpulan tertentu sahaja. Parti-parti politik yang berasaskan kepada suku kaum juga memainkan pelbagai isu sensitif seperti bahasa, budaya, ekonomi dan hak keistimewaan sehingga memburukkan lagi masalah perpaduan.

⧭ Amalan ekonomi yang berlainan
 Setiap etnik menjalankan aktiviti ekonomi yang tertentu dan mendiami kawasan yang berlainan. Keadaan ini mewujudkan jurang pendapatan yang tidak seimbang dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan etnik yang berlainan jenis dan rasa serta mengakibatkan perpaduan negara terancam. 

⧭ Dasar Penjajah British
  Penjajah British mengamalkan dasar pecah dan perintah yang menjarakkan kumpulan-kumpulan etnik demi kepentingan dan keselamatan mereka sendiri.  Penjajah sengaja menentukan status dan peranan yang berlainan bagi kaum yang tertentu. Interaksi antara kaum menjadi terbatas dan lahirlah sikap prasangka negatif yang kukuh antara rakyat tempatan yang berbilang etnik.



Kesan-Kesan Akibat Ketidakharmonian Antara Kaum

Terdapat beberapa kesan- kesan ketidakharmonian antara kaum di Malaysia.
Hubungan ketidakharmonian antara kaum akan mengakibatkan negara kita berada di dalam keadaan yang tidak stabil. Hal ini akan mendorong kepada pergaduhan atau pertelingkahan antara kaum. Keadaan yang tidak stabil ini akan membimbangkan para pelabur. Sekiranya, sesebuah negara mengalami suasana huru-hara, pelabur asing akan terasa bimbang terhadap modal yang dilaburkan juga tentang keselamatan perniagaan mereka di negara ini. Kemerosotan ekonomi akan melambatkan proses perkembangan dan kemajuan negara kerana kehidupan rakyat yang derita akibat kenaikan harga barang secara mendatar dan kemunduran teknologi kerana tiada sumbangan modal daripada para pelabur di dalam mahupun dari luar negara. Malahan, taraf hidup penduduk akan menjadi rendah akibat ketiadaan peluang pekerjaan. Oleh hal yang sedemikian, perpaduan di kalangan rakyat menjadi salah satu faktor penting dalam penjanaan ekonomi negara.

Mengancam Keselamatan Negara
        Pertahanan bagi sesebuah negara juga banyak bergantung kepada rakyatnya. Secara langsungnya, hubungan tegang antara rakyat akibat daripada perselisihan sememangnya mampu menggugat keselamatan negara. Hal ini demikian kerana hubungan yang harmonis di kalangan rakyat secara tidak langsungnya akan mewujudkan sebuah tembok pertahanan yang kukuh dan dapat menjamin keselamatan sesebuah negara. Negara yang kacau bilau bukan sahaja terdedah kepada ancaman dari dalaman tetapi juga dari luar yang melihat ini sebagai peluang untuk campur tangan sekaligus membuka peluang untuk menguasai negara tersebut sama ada secara halus atau pun terang-terangan.

Menjejaskan Imej Negara
       Bagi sebuah negara yang tidak aman, ia akan menjadi tajuk perbualan di peringkat global. Imej negara terjejas dan keadaan ini menjadi buruk apabila kita akan ditolak sama sekali untuk mengadakan kerjasama dengan negara-negara maju yang lain. Negara akan menjadi mundur sementara negara-negara yang tidak mengalami pergolakan kaum akan mencapai kejayaan secara berterusan. Tanpa keamanan, negara tersebut sukar untuk melakukan sesuatu yang dapat membanggakan mahupun menarik perhatian negara lain. Sebaliknya, jika perpaduan dan hubungan harmonis wujud antara rakyat, ia adalah simbol kejayaan di peringkat global. Dengan ini, sesebuah negara tersebut bukan sahaja akan disegani oleh negara lain malah akan menjadi model dan rujukan kepada negara lain. Hubungan antara negara akan berjaya dianjurkan dan pelbagai peluang kerjasama akan wujud lalu membawa keuntungan ekonomi, sosial mahupun politik.


Langkah-Langkah Untuk Mengekal Dan Memantapkan Perpaduan Kaum Di Malaysia

Beberapa kempen dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan mampu mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di negara ini. Pelan Tindakan Perpaduan & Integrasi Nasional telah dirancang oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Ia merupakan rancangan lima tahun iaitu dari 2005-2010 yang merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Pelan ini mengandungi pelbagai strategi yang dirancang dari pelabagai aspek seperti strategi politik, ekonomi, pendidikan, penggunaan Bahasa Kebangsaan, Agama, Kebudayaan, Integrasi Wilayah, Keselamatan, Pembangunan Kawasan, Penggunaan Tenaga Manusia, Media Massa, Kesukanan, Pemasyarakatan Perpaduan, Pertubuhan Sukarela, Penyelidikan Dan Penerbitan Bahan Bacaan, Pemantauan Isu-isu Semasa dan Konflik, Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Peringkat Negeri (JKPPN), program dan aktiviti perpaduan, Sekolah Wawasan dan Program Latihan Khidmat Negara. Kesemua program, pelan dan aktiviti yang dirancang telah dijalankan dengan bertujuan supaya masyarakat dapat melibatkan diri dan memupuk hubungan etnik yang erat antara rakyat di negara ini.

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah rendah dan menengah pada tahun 2005. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik sangka maka akan timbul suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adapt resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain. KPM menyediakan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang. Proses perpaduan ini dapat dipupuk dan dibina agar semangat tersebut dapat diamalkan dalam masyarakat. Usaha ini dijana semula kea rah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah lawatan sambil belajar, kursus motivasi, kem perpaduan , sambutan hari perayaan , pameran kebudyaan dan persembahan pentas.

Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, kerajaan telah mewajibkan remaja yang berumur 17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara. Selaras dengan modul kenegaraan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing dan seterusnya perpaduan dapat disemai melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya, tidak dapat disangkal bahawa PLKN turut memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk perpaduan kaum.

Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. Namun, sikap negative masyarakat terutamanya masyarakat yang duduk di bandar yang hanya bekerja tidak tentu masa dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk semangat perpaduan sukar untuk diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus dijalinkan seperti aktiviti gotong royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk menjayakan aktiviti tersebut supaya perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap rakyat seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama.


USAHA YANG BOLEH DIJALANKAN DI PERINGKAT MASYARAKAT SETEMPAT

⧪ Program Pemuafakatan Masyarakat
Program pemuwafakatan antara masyarakat setempat boleh diadakan melalui program-program ilmiah seperti ceramah motivasi, aktiviti keagamaan, Makan beradab, gotong royong, majlis perkahwinan dan sebagainya.

⧪ Hari Keluarga dan Sukan Rakyat
Program yang melibatkan seluruh ahli masyarakat boleh diadakan. Pelbagai acara dijalankan melibatkan semua peserta. Selain dapat menghilangkan perasaan tertekan dengan bebanan tugas, program ini dapat membina persefahaman, keteguhan perpaduan dan perasaan kasih sayang dalam kalangan seluruh warga masyarakat.

⧪ Acara Kebudayaan dan Kesenian
Pelbagai acara berbentuk kebudayaan dan kesenian rakyat boleh diadakan seperti permainan tradisi, boria, dikir barat, persembahan kebudayaan setiap kaum di Malaysia dan lain-lain lagi yang disertai oleh anggota masyarakat. Selain dapat berhibur, semua yang terlibat dapat memahami dan mematuhi peraturan yang digariskan.

⧪ Majlis Sambutan Hari Raya, Ucapan Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali
 Setiap kali menjelang hari perayaan, masyarakat melalui pertubuhan atau organisasi seperti JKKK atau NGO mengatur program yang melibatkan seluruh warga masyarakat. Beraneka jenis makanan yang dihidang dinikmati bersama. Sumbangan yang diperolehi dari pelbagai pihak disampaikan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ucapan selamat yang diberikan,disambut dengan penuh kemesraan dan dapat membentuk perasaan kasih sayang dan perpaduan rakyat berbilang kaum dalam komuniti tempatan.

⧪ Aktiviti Riadah
Seterusnya, kerajaan perlu menggalakkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam pelbagai program yang dianjur pelbagai pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Belia Malaysia, Jabatan Agama Islam, Rakan Muda, INMIND dan sebagainya. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah senamrobik, mencari harta karun, larian, Larian Merdeka dan sebagainya. Setiap ahli masyarakat dapat berinteraksi dengan peserta dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Mereka dapat memahami dengan lebih mendalam erti perpaduan dan perasaan hormat menghormati sesama masyarakat.


Sambutan Hari Keluarga

Aktiviti riadah bersama-sama

Menyambut perayaan Tahun Baru Cina
bersama-sama

RUMUSAN


Saya amat bersyukur kerana saya dapat mengumpulkan segala maklumat dari pelbagai sumber rujukan yang ada. Tugasan ini menggerakkan saya untuk mempelajari dan mengetahui lebih lanjut tentang perpaduan di Malaysia. Melalui kajian ini, saya menyedari bahawa kita haruslah berbangga sebagai rakyat Malaysia dan berasa bersyukur kerana hidup dalam sebuah negara yang aman dan damai seperti Malaysia. Melalui pemerhatian secara tidak langsung , saya sedar bahawa perpaduan kaum amat penting untuk mengekalkan kestabilan politik.

Perpaduan kaum amat penting bagi merapatkan jurang perbezaan ekonomi pelbagai kaum di Malaysia. Tanggungjawab menyemai benih perpaduan dalam diri setiap individu menjadi tugas rakyat Malaysia bersama-sama. Secara tuntasnya, kajian ini telah menyedarkan saya tentang betapa pentingnya sifat bertanggungjawab, tabah , dan sabar dalam melakukan sesuatu kerja. Pada masa yang sama, saya sedar bahawa banyak perkara sebenarnya mampu menyumbang kepada kemajuan Negara.
Saya berharap agar warga Negara Malaysia akan sentiasa mematuhi segala syarat dan undang-undang serta tidak terpengaruh dengan anasir luar dan menghargai jasa tokoh-tokoh yang telah berkorban demi kemerdekaan dan keamanan Malaysia.


RUJUKAN



1 comment:

  1. CASINO & RESORT - JTM Hub
    CASINO 보령 출장안마 & RESORT in Kingston, WA offers a variety of 과천 출장마사지 casino 거제 출장샵 & resort accommodations, entertainment, and fine dining. 양주 출장샵 Come and stay at 안동 출장안마 the hotel's

    ReplyDelete